Soalan Lazim
Soalan Lazim
- Am
- Am
-
Q Apakah objektif Lembaga Kaunselor?
A Objektif Lembaga Kaunselor adalah untukmemartabatkan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling yang dapat memberikan sumbangan kepada individu, masyarakat dan negara melalui:
· Memastikan perkhidmatan kaunseling mempunyai tahap piawaian selaras dengan keperluan negara;
· Memastikan perkhidmatan kaunseling dilaksanakan mengikut tahap kualiti dan kaedah yang betul;
· Memastikan semua perkhidmatan kaunseling dilaksanakan oleh kaunselor yang berkelayakan dan bertauliah mengikut
peraturan dan undang-undang sedia ada.
-
Q Apakah visi Lembaga Kaunselor?
A Visi Lembaga Kaunselor adalah untuk menjadikan perkhidmatan kaunseling sebagai penjana potensi modal insan ke arah pembentukan masyarakat Malaysia yang maju.
-
Q Apakah misi Lembaga Kaunselor?
A Misi Lembaga Kaunselor adalah seperti berikut:
§ Menggubal dasar perkhidmatan kaunseling selaras dengan kehendak semasa;
§ Mengawal selia tahap perkhidmatan kaunseling selaras dengan dasar dan peraturan-peraturan sedia ada;
§ Menasihati kerajaan berhubung peranan perkhidmatan kaunseling yang berkualiti;
§ Mengurus pentadbiran dan rekod profesional kaunselor di Malaysia.
-
Q Apakah perkhidmatan teras Lembaga Kaunselor?
A Perkhidmatan teras Lembaga Kaunselor adalah seperti berikut:
· Pembangunan;
· Pemantauan dan Pengawalseliaan;
· Operasi
-
Q Apakah yang dimaksudkan dengan perkhidmatan pembangunan?
A Perkhidmatan pembangunan merangkumi perkhidmatan-perkhidmatan berikut:
· Seksyen 12(b) – Menilai keperluan perkhidmatan kaunseling di Malaysia;
· Seksyen 12(d) – Menentukan kelayakan yang melayakkan seseorang didaftarkan di bawah Akta Kaunselor 1998;
· Seksyen 12(e) – Menentukan standard latihan kaunseling;
· Seksyen 12(f) – Membuat syor kepada kerajaan berhubung dengan standard perkhidmatan kaunseling.
-
Q Apakah yang dimaksudkan dengan perkhidmatan pemantauan dan pengawalseliaan?
A Perkhidmatan pemantauan dan pengawalseliaan merangkumi perkhidmatan-perkhidmatan berikut:
· Seksyen 12(a) – Menyelia perkhidmatan kaunseling;
· Seksyen 12(c) – Mengawal selia latihan dan menentukan jenis tahap kaunseling di Malaysia;
· Seksyen 12(h) – Mengawal selia fi yang boleh dikenakan oleh Kaunselor Berdaftar bagi perkhidmatan kaunseling;
· Seksyen 12(j) – Mengawal selia tata kelakuan profesional kaunselor termasuklah menetapkan Kod Etika bagi profesion
kaunseling.
-
Q Apakah yang dimaksudkan dengan perkhidmatan Operasi?
A Perkhidmatan operasi merangkumi perkhidmatan-perkhidmatan berikut:
· Seksyen 12(g) – Mendaftar kaunselor yang berkelayakan;
· Seksyen 12(i) – Melantik anggota-anggota lembaga untuk menganggotai mana-mana lembaga, jawatankuasa atau
badan yang ditubuhkan bagi apa-apa maksud yang menyentuh profesion kaunseling;
· Seksyen 12(k) – Melakukan apa-apa perkara lain yang difikirkan perlu untuk membolehkan lembaga menjalankan
fungsinya dengan berkesan.
-
Q Siapakah yang layak untuk didaftarkan di bawah Akta Kaunselor 1998 (Akta 580)?
A Mengikut Bahagian IV Seksyen 24(1) dan (2) Akta Kaunselor 1998 (Akta 580), Seseorang boleh didaftarkan apabila memenuhi:
· Memuaskan hati Lembaga bahawa dia seorang warganegara Malaysia atau seorang pemastautin tetap Malaysia;
· Berumur tidak kurang dari dua puluh satu tahun;
· Adalah orang yang layak dan sesuai didaftarkan sebagai kaunselor dan;
· Memegang mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.
-
Q Adakah pemohon bukan warganegara Malaysia dan bukan pemastautin tetap Malaysia layak untuk didaftarkan di bawah Akta ini?
A Boleh. Mana-mana orang yang bukan warganegara Malaysia dan bukan pemastautin tetap Malaysia yang berhasrat untuk menjalankan amalan sebagai kaunselor di Malaysia boleh didaftarkan dengan Pendaftaran Sementara sekiranya:
a) Dia didaftarkan atau dilesenkan sebagai kaunselor, atau selainnya dibenarkan oleh undang-undang untuk menjalankan amalan sebagai kaunselor, dalam negara di mana dia biasanya menjalankan amalan sebagai kaunselor;
b) Dia memiliki kepakaran kaunseling; dan
c) Kehadiran fizikalnya dikehendaki di Malaysia selama tidak kurang daripada satu ratus lapan puluh hari dalam satu tahun kalendar bagi maksud mengadakan perkhidmatan kaunseling atau dia ialah wakil pemastautin bagi komponen asing suatu usaha sama bagi maksud-maksud itu.
-
Q Apakah kelayakan untuk mendaftar sebagai Kaunselor Berdaftar bagi warganegara dan bukan warganegara?
A Bagi warganegara/pemastautin tetap Malaysia:
Kelayakan pendaftaran adalah berdasarkan Seksyen 24(1) dan (2)
Akta Kaunselor 1998 (Akta 580)
Seksyen 24(1)
Seseorang hendaklah didaftarkan sebagai kaunselor jika dia memuaskan hati Lembaga bahawa dia seorang warganegara Malaysia atau seorang pemastautin tetap Malaysia, berumur tidak kurang daripada dua puluh satu tahun, adalah orang yang layak dan sesuai didaftarkan sebagai kaunselor dan memegang mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Jadual Kedua.
Seksyen 24(2)
Jika seseorang memegang apa-apa kelayakan yang tidak dinyatakan di dalam Jadual Kedua tetapi Lembaga berpuas hati bahawa kelayakan itu adalah tidak kurang daripada atau yang bersamaan dengan kelayakan yang dinyatakan di dalam Jadual itu, Lembaga boleh meluluskan pendaftaran orang itu sebagai kaunselor jika dia memuaskan hati Lembaga bahawa dia seorang warganegara Malaysia atau seorang pemastautin tetap Malaysia, berumur tidak kurang dari dua puluh satu tahun dan, adalah orang yang layak dan sesuai untuk didaftarkan sebagai kaunselor.
Bagi bukan warganegara/pemastautin tetap Malaysia
Kelayakan Pendaftaran Sementara berdasarkan Seksyen 27 (3) (a),(b) dan (c) Akta Kaunselor 1998 (Akta 580)
Seksyen 27(3) (a),(b) dan (c)
Apabila diterima sesuatu permohonan di bawah subseksyen (1), Lembaga hendaklah menimbangkan permohonan itu dan boleh membenarkan pemohon didaftarkan sementara jika Lembaga berpuas hati bahawa-
a) dia didaftarkan atau dilesenkan sebagai kaunselor, atau selainnya dibenarkan oleh undang-undang untuk menjalankan amalan sebagai kaunselor, dalam negara di mana dia biasanya menjalankan amalan sebagai kaunselor;
b) dia memiliki kepakaran kaunseling; dan
c) kehadiran fizikalnya dikehendaki di Malaysia selama tidak kurang daripada satu ratus lapan puluh hari dalam satu tahun kalendar bagi maksud mengadakan perkhidmatan kaunseling atau dia ialah wakil pemastautin bagi komponen asing suatu usaha sama bagi maksud-maksud itu.
-
Q Bagaimana caranya untuk mendaftar sebagai Kaunselor Berdaftar?
A Individu yang ingin mendaftar sebagai dikehendaki mengemukakan permohonan lengkap dengan mengisi borang pendaftaran yang boleh dibeli di pejabat Lembaga Kaunselor ataupun dimuat turun di laman web lembaga kaunselor. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dikepilkan dengan beberapa maklumat tambahan seperti:
· Salinan sijil/ijazah dan transkrip kelulusan kaunseling;
· Salinan kad pengenalan;
· 3 keping gambar terbaru ukuran pasport;
· Ringkasan pengalaman menjalankan kaunseling dan;
· Fi proses pendaftaran sebanyak RM200.00 berbentuk cek, wang pos atau bank draf atas nama “Lembaga
Kaunselor”.
-
Q Apakah implikasi undang-undang sekiranya individu yang mengamalkan dan menjalankan kaunseling tidak berdaftar sebagai Kaunselor Berdaftar?
A Menurut Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) Seksyen 22(2):
· Mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh
didenda tidak melebihi tiga puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-
duanya.
-
Q Apakah tindakan yang boleh diambil oleh seseorang individu sekiranya pihak Lembaga Kaunselor enggan mendaftarkannya sebagai kaunselor?
A Seseorang yang terkilan dengan keputusan Lembaga yang enggan mendaftarkannya boleh mengemukakan rayuan kepada Menteri dalam tempoh 21 hari selepas menerima notis keengganan itu daripada Lembaga Kaunselor sebagaimana yang termaktub di dalam Seksyen 27(6) Akta Kaunselor 1998 (Akta 580). Keputusan Menteri adalah muktamad.
-
Q Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat tambahan berkaitan Lembaga Kaunselor, pendaftaran dan maklumat berkaitan?
A Maklumat lanjut berkaitan dengan Lembaga Kaunselor boleh dilakukan dengan melayari laman web rasmi Lembaga Kaunselor di www.lkm.gov.my
-
Q Adakah seorang yang beri kaunseling tapi tiada kelayakan kaunseling,layak daftar sebagai kaunselor berdaftar bagi gantikan akademik kepada pengalaman seperti Jadual Kedua Akta Kaunselor1998(Akta580)?
A Tidak boleh. Ini adalah kerana pendaftaran kaunselor adalah bertujuan untuk mengiktiraf profesion kaunseling sebagai profesion profesional. Oleh yang demikian, kelayakan akademik adalah dimestikan.
-