Perutusan Presiden

Assalamulaikum W.B.T. dan Salam Sejahtera,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih diberi ruang dan peluang oleh Allah S.W.T. untuk terus memberi khidmat kepada masyarakat dan negara kita tercinta.
Warga Kaunselor sekalian, kita semua menyedari bahawa kita berhadapan dengan cabaran yang cukup besar yang memerlukan kita berfikir dan bertindak dengan lebih efesien dan efektif dalam membantu masyarakat melalui perkhidmatan kaunseling yang kita berikan.
Sempena Bulan Kaunseling Kebangsaan 2018 yang bertemakan “Perkhidmatan Kaunseling Profesional Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat”, saya menyeru semua kaunselor berdaftar untuk sama-sama berganding-bahu dan bekerjasama dalam kita memartabatkan profesion kaunseling dalam negara kita seterusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Sebagai seorang kaunselor berdaftar, kita perlu sama-sama bertanggungjawab kepada profesion dan profesionalisme kita. Marilah kita sama-sama memainkan peranan memperkasakan perkhidmatan kaunseling dan seterusnya mengangkat darjat dan memartabatkan profesion kita.
Peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling kini dilihat sebagai satu keperluan yang penting terutamanya dalam situasi masyarakat kini yang berhadapan dengan pelbagai tekanan kehidupan.
Justeru itu, saya menyeru agar setiap kaunselor berdaftar sentiasa meningkatkan kemahiran melalui pelbagai aktiviti pembangunan profesional supaya kita lebih kompeten dalam memberikan perkhidmatan kaunseling agar manfaat yang terbaik diperolehi masyarakat hasil daripada perkhidmatan kaunseling yang kita berikan.
Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas sokongan berterusan yang tidak berbelah-bagi daripada semua pihak untuk terus memartabatkan profesion kaunseling yang merupakan wadah penting dalam membantu kesejahteraan masyarakat dan keharmonian negara kita yang tercinta.
Sekian, terima kasih.
Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Bin Wan Jaafar
Presiden
Lembaga Kaunselor